KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing maut dalam keadaan tragis selepas terjatuh dari tingkat 39 sebuah bangunan residensi di Jalan Yap Kwan Seng di sini, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu jam 7.39 pagi.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa berusia 29 tahun adalah penduduk di residensi berkenaan.
“Mayat mangsa ditemui dalam keadaan anggota badannya tidak sempurna dan pemeriksaan pada kediamannya tidak menemui sebarang nota.
“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sulizmie berkata, siasatan masih diteruskan dan buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Terdahulu, tular satu rakaman video menunjukkan mayat mangsa dalam keadaan yang tidak sempurna di atas kawasan laluan pejalan kaki berhampiran bangunan residensi terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.