Tumpuan :
Nasional

Warga asing kembali ‘banjiri’ Jalan Silang

Suasana di Jalan Silang, ibu negara kembali dibanjiri warga asing meskipun kawasan ini pernah digempur Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 21 Disember lalu. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Suasana Jalan Silang di ibu negara kembali menjadi ‘Mini Dhaka’ apabila dibanjiri warga asing pada cuti hujung minggu.

Keadaannya hampir sama dengan situasi sebelum digempur pihak berkuasa minggu lalu namun jumlahnya sedikit berkurangan.

Tinjauan petugas media sejak jam 10 pagi tadi dikawasan itu mendapati kehadiran warga asing dipercayai dari Myanmar, Bangladesh, Pakistan, Nepal, Filipina dan Indonesia dilihat memenuhi hampir setiap pelusuk hadapan kiri dan kanan kedai di Jalan Silang dan Lebuh Pudu.

Pengurus sebuah restoran makanan segera, Fitri Yaakob berkata, selepas digempur pada Khamis minggu lalu, jumlah warga asing dilihat berkurangan namun hari ini jumlahnya kembali ramai.

FOTO: NSTP

“Kita akan rasa tak selesa kalau hendak melalui kawasan hadapan kedai di Jalan Silang, kerana mereka (warga asing) akan memenuhi laluan pejalan kaki sambil berkumpul, bersembang malah ada yang meniaga di kaki lima.

“Saya yakin dalam ribuan warga asing ini pasti ada yang melakukan kesalahan imigresen apabila mereka akan mula bersembunyi di tangga kedai atau melarikan diri di tengah-tengah kesesakan orang ramai apabila melihat kelibat polis atau orang yang memakai seragam penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Sebaik pihak polis atau penguatkuasa beredar mereka akan kembali berkumpul semula menjalankan aktiviti mereka,” katanya.

Fitri berkata, jika sebelum ini serbuan polis dilakukan pada hari bekerja namun dia menyarankan pemeriksaan dan operasi mengejut dilakukan pada hari cuti dan hujung minggu.

FOTO: NSTP

Sementara itu, warga asing di kawasan ini juga didapati tidak menjaga kebersihan selain turut didapati melanggar undang-undang dengan menjalankan perniagaan menjual pakaian, sireh, barang basah seperti ikan dan sayur di kaki lima.

Namun mereka mula menutup penjualan mereka apabila menyedari jurugambar petugas media merakam aktiviti mereka.

Malah, koloni warga asing ini juga memandang orang tempatan yang melalui kawasan berkenaan dengan berhati-hati dan penuh curiga kerana bimbang ditahan secara tiba-tiba oleh pihak berkuasa berpakaian awam.

FOTO: NSTP

Tidak jauh dari Jalan Silang, sebuah stesen bas Rapid KL turut dipenuhi warga asing yang turun dan ingin menaiki bas menuju ke lokasi lain.

Boleh dikatakan hanya warga asing yang memenuhi setiap bas yang tiba dan berlepas dari Jalan Silang.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini