PETALING JAYA: Jabatan Imigresen menahan 6 warga asing kerana memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) yang tamat tempoh.
Salah seorang yang ditahan dikenalpasti bertindak sebagai dalang utama menjadi orang tengah urusan pekerja asing.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh dalam satu kenyataan berkata, tangkapan warganegara asing dilakukan dalam satu Tindakan Operasi Pemeriksaan pada 17 Januari lalu oleh Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen di sebuah premis di Taman Dato Ahmad Razali, Ampang, Selangor.
Dalam operasi itu, seramai 16 orang telah diperiksa dan hasilnya seramai 6 orang warganegara asing yang memiliki PLKS yang telah tamat tempoh ditahan.
Kesemua mereka berumur antara 27 hingga 56 tahun yang terdiri daripada 5 orang lelaki warganegara Bangladesh dan seorang perempuan warganegara Indonesia.
Tindakan pemeriksaan tersebut diambil susulan aduan awam berhubung kegiatan warganegara asing yang menjalankan aktiviti sebagai orang tengah dalam menguruskan pengambilan pekerja dan pengurusan pas pekerja asing.
Hasil serbuan, sejumlah 91 keping I-Kad, 561 keping kad CIDB, 42 buah pasport warganegara asing, 33 unit cop pelbagai syarikat dan 27 fail berkaitan maklumat syarikat-syarikat yang diurus telah dirampas.
Turut dirampas wang tunai berjumlah RM740,050.
Kesemua warganegara asing itu ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.
Mereka kini ditempatkan di Depot Imigresen Putrajaya untuk tujuan siasatan dan tindakan lanjut.
JIM mengingatkan orang ramai agar tidak mudah percaya dengan sebarang tawaran perkhidmatan daripada pihak tidak bertanggungjawab dengan mengenakan sebarang bayaran.
JIM katanya tidak pernah melantik mana-mana ejen atau orang tengah untuk perkhidmatan berkenaan.