comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga asing ditahan, patahkan pengilap cermin kenderaan di parkir

Tangkap layar warga asing mematahkan pengilap cermin kenderaan diparkir dekat Terminal Bas Batu Pahat. – Foto tular

BATU PAHAT: Seorang lelaki warga asing ditahan polis kerana didapati mematahkan pengilap cermin beberapa kenderaan milik orang awam yang di parkir Terminal Bas Batu Pahat, semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, suspek berusia 25 tahun ditahan selepas perbuatannya tular di media sosial.

Beliau berkata, siasatan polis berdasarkan rakaman video terbabit mendapati kejadian itu berlaku pada jam 3.30 petang.

“Bertindak atas maklumat diperoleh, polis daripada Unit Rondaan Bermotosikal (URB) berjaya menahan suspek pada hari sama untuk siasatan lanjut.

“Polis turut menemui pisau lipat dalam beg sandang milik suspek semasa tangkapan dilakukan ke atasnya.

“Susulan itu, suspek yang ditahan kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Shahrulanuar berkata, tiga kertas siasatan dibuka membabitkan Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat serta Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Selain itu, Shahrulanuar berkata, siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal di negara ini tanpa dokumen sah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini