TAWAU: Perbuatan jijik seorang lelaki warga asing yang tergamak merogol anak tirinya sejak empat tahun lalu terbongkar apabila ibu saudara mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian itu, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa berusia 15 tahun mendakwa dirogol bapa tirinya beberapa kali bermula tahun 2020 dengan kejadian terbaru pada September lalu di rumah mereka di daerah ini.
Menurutnya, mangsa sebelum itu dikatakan mengadu sakit perut dan dihantar ke hospital Tawau untuk mendapatkan rawatan oleh ibu saudaranya kira-kira jam 8 pagi, 26 November lalu.
“Bagaimanapun doktor bertugas yang merawat mangsa mendedahkan remaja perempuan berkenaan menjadi mangsa rogol bapa tirinya sejak berumur 11 tahun lagi.
“Selain dirogol mangsa turut diugut akan dipukul atau dicederakan sekiranya mangsa memberitahu kejadian itu kepada sesiapa,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Jasmin berkata susulan laporan yang diterima sepasukan Polis dari Balai Polis Kalabakan berjaya menahan seorang lelaki warga asing berusia 35 tahun di sekitar kawasan Kampung Murut, Kalabakan, kira-kira jam 12.30 tengahari semalam.
“Kes masing-masing disiasat mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.