Tumpuan :
Nasional

Warga asing cuba sembunyi dalam lubang rahsia, elak ditahan Imigresen

Warga kemboja yang cuba bersembunyi dalam lubang rahsia di rumah kongsi ditahan, semalam. FOTO: JIM

KUALA TERENGGANU: Cubaan seorang lelaki warga asing melepaskan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa dengan bersembunyi dalam lubang khas di sebuah rumah kongsi gagal sehingga dia ditahan Imigresen dalam operasi Sapu, semalam.

Lelaki Kemboja berusia 30-an itu menyelinap masuk dalam lubang rahsia sebaik ternampak kelibat pegawai penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia negeri menuju ke rumah kongsi di tapak pembinaan di Kampung Gelugor Kedai, Marang.

Bagaimanapun, selepas 15 minit bersembunyi dalam lubang yang ditebuk pada lantai rumah kongsi itu, lelaki itu secara tiba-tiba melompat keluar, mungkin tidak tahan dengan bahang panas dalam lubang itu.

Gelagat lelaki warga Kemboja itu diperhatikan pegawai penguat kuasa Imigresen dalam operasi jam 8 malam hingga 6 pagi semalam.

Cubaan lelaki itu bersembunyi dalam timbunan pakaian selepas keluar dari lubang berkenaan gagal apabila diberkas bersama warga asing lain.

FOTO: JIM

Pengarah Imigresen negeri, Mohd Yusri Mohd Nor berkata, seramai 45 warga asing termasuk seorang wanita dan dua kanak-kanak lelaki dan seorang perempuan ditahan dalam serbuan di lapan premis masing-masing di daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang.

Bagaimanapun, katanya, selepas saringan dokumen dilakukan, 17 warga asing berusia antara tujuh dan 49 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan.

Mohd Yusri berkata, semua warga asing termasuk tiga kanak-kanak yang ditahan dihantar ke depoh Imigresen Ajil, Kuala Berang, untuk siasatan lanjut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini