comscore
Tumpuan :
Nasional

Warga asing cuba culik budak lelaki 2 tahun, dicekup penduduk

Tangkap layar video tular suspek dalam keadaan tangan terikat disoal siasat seorang penduduk. FOTO Tular

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga asing yang dipercayai cuba menculik seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kampung Bunga Raya, Rawang dekat sini, semalam seperti yang tular di media sosial telah ditahan polis.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.40 tengah hari namun cubaan culik berkenaan berjaya digagalkan.

Katanya, satu laporan polis dibuat oleh seorang wanita berusia 47 tahun memaklumkan semasa kejadian dia terdengar seorang jirannya menjerit meminta tolong memberitahu ada lelaki cuba menculik anaknya.

“Pengadu pergi ke rumah jirannya dan nampak seorang lelaki melarikan diri.

“Pengadu bersama-sama penduduk mengejar lelaki terbabit dan berjaya menahannya berdekatan dengan kawasan pembuangan sampah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Hafiz berkata, siasatan awal mendapati kejadian cubaan culik itu berlaku di ruang tamu mangsa dan suspek pada awal memperkenalkan dirinya sebagai seorang pekerja pembersihan kepada tuan rumah.

“Selepas menyedari perbuatannya disedari orang ramai, suspek dipercayai cuba melarikan diri, namun berjaya ditahan kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian.

“Semasa penduduk cuba menahan suspek, berlaku sedikit pergelutan namun akhirnya suspek berjaya ditahan dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Mohd Hafiz berkata, polis membuka satu kertas siasatan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu jenayah culik berkait kes itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

“Pihak polis menasihati orang ramai agar tidak melakukan apa-apa perkara serta tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Hafiz berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan diminta untuk tampil membantu siasatan pihak polis.

Katanya, mereka boleh hadir ke mana-mana balai polis yang berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Mohamad Azammudin Mohd Razib di talian 016-5661597.

Terdahulu tular beberapa rakaman video serta gambar berkait kejadian itu di media sosial, semalam.

Menerusi salah satu, video yang tular menunjukkan suspek dalam keadaan tangan terikat disoal siasat seorang penduduk.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini