Tumpuan :
Nasional

Wanita warga Myanmar sembunyi dalam stor elak dicekup

Antara pekerja asing ditahan dan diperiksa dalam Ops Mahir di kilang perabut, Bakri, di sini. FOTO: Alias Abd Rani

MUAR: Seorang wanita warga Myanmar nekad melarikan diri dan bersembunyi di dalam sebuah stor sebelum ditahan dalam Ops Mahir di sekitar Bakri, hari ini.

Wanita berusia 30-an itu mendakwa dia ketakutan sebaik menyedari kehadiran pegawai serta anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) yang menjalankan operasi di tiga lokasi kilang perabot.

Dalam serbuan jam 11 pagi itu, beberapa pekerja warga asing turut cuba melarikan diri, namun usaha mereka gagal apabila berjaya diberkas oleh pihak berkuasa.

Ketika serbuan dilakukan, kesemua pekerja warga asing tersebut sedang bekerja di kilang perabot sebelum diarahkan berhenti oleh pegawai dan anggota penguat kuasa imigresen.

Serbuan juga mendapati tempat penginapan pekerja asing di tingkat atas bangunan dua tingkat seakan-akan reban ayam dengan bau busuk serta menjijikkan selain dicemari sampah sarap.

Sementara itu, Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, seramai 244 pekerja asing diperiksa dengan 49 daripadanya ditahan atas pelbagai kesalahan.

“Mereka terdiri warga Myanmar, Bangladesh dan Pakistan. Daripada jumlah itu, lapan ditahan adalah wanita kerana didapati tinggal lebih masa serta tiada dokumen sah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15 (1) (c) dan Seksyen 39 (b) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini