![](https://media.buletintv3.my/2025/02/BULETIN-TV3-N-2025-02-15T193744.207.jpg)
JITRA: Seorang wanita warga emas yang dalam perjalanan untuk menghantar anak lelakinya yang terjatuh dari motosikal ke Hospital Jitra, meninggal dunia selepas kereta yang dipandunya terlanggar sebuah lori di persimpangan lampu isyarat di Hosba, di sini, hari ini.
Pemandu trak penunda, Asmawi Che Lam, 46, berkata, difahamkan wanita terbabit datang memandu Perodua Axia untuk membantu membawa anak lelakinya ke Klinik Kesihatan Changlun, tetapi klinik itu tutup hari ini disebabkan cuti hujung minggu.
“Mungkin dia panik melihat keadaan anaknya, lalu segera ke Hospital Jitra sebelum terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Hosba.
“Sebaik kemalangan itu, warga emas berkenaan dilihat masih bergerak sewaktu dibawa ke hospital, manakala anaknya pula hanya mengalami kecederaan akibat kemalangan sebelum itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Asisten Komisioner Mohd Redzuan Salleh berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada 2 petang hari ini, membabitkan lori Isuzu dengan kereta Perodua Axia.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati lori terbabit dipercayai menghala dari Jitra ke Kubang Betong dan hendak membelok ke kanan di persimpangan lampu isyarat di Hosba ketika tanda isyarat hijau.
“Ketika itu, datang kereta Perodua Axia yang dipandu wanita warga emas berusia 69 tahun itu bersama anak lelakinya yang berusia 47 tahun dari arah bertentangan dan tidak berhenti ketika lampu isyarat berwarna merah.
“Berikutan itu, kereta terbabit telah berlanggar dengan lori berkenaan. Akibat daripada kemalangan itu, pemandu kereta Perodua Axia meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Jitra,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.