Oleh: Safwan Sawi
RANAU: Mayat wanita warga emas yang hilang sejak Isnin lalu ditemui tersangkut pada dahan pokok di Sungai Kampung Tampios, Ranau semalam.
Mangsa Minggui Belinting, 80 tahun, ditemui pada 7.21 pagi oleh penduduk kampung sebelum bertindak menghubungi pihak berkuasa.
Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati mangsa tinggal bersendirian di Kampung Tinanom.
Kali terakhir mangsa dilihat ketika keluar rumah untuk mengambil sayur kampung jam 10 pagi dan meminta cucunya yang tinggal berdekatan rumahnya untuk mengangkat pakaiannya di jemuran.
“Sehingga petang isnin, mangsa belum pulang ke rumah dan pagi esoknya, cucunya bersama orang kampung mencari mangsa di sekitar kawasan kampung namun tidak ditemui.
“Cucu mangsa kemudian hadir ke Balai Polis Ranau untuk membuat laporan mengatakan neneknya tidak pulang sejak dua hari lalu dan meminta bantuan polis,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian diaktifkan pada 8 pagi kelmarin di kawasan kejadian.
“Pada 7.21 pagi semalam, mangsa ditemui telah meninggal dunia dalam keadaan tersangkut pada dahan pokok di Sungai Kampung Tampios.
“Mayat mangsa kemudian diangkat oleh pasukan penyelamat terdiri daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Sukarelawan (Rela),” katanya.
Kes berkenaan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).