Tumpuan :
Nasional

Wanita warga emas maut dipercayai dibakar anak mengamuk

Foto hiasan

Oleh: Selwam Arjunan

ALOR SETAR: Seorang wanita warga emas ditemukan maut dengan kesan terbakar di sebuah rumah di Jalan Tok Keling, di sini, pagi semalam, dipercayai dibunuh anak lelakinya dalam keadaan mengamuk.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Siti Nor Salawati Saad berkata, suspek berusia 43 tahun yang memegang kad orang kurang upaya (OKU) mental telah ditahan untuk membantu siasatan.

Katanya, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kota Setar menerima panggilan melalui talian MERS 999 berhubung kejadian itu, jam 7.48 pagi.

Siasatan awal berdasarkan temu bual dengan anak suspek yang berusia 14 tahun mendapati remaja itu terdengar pertengkaran antara bapanya (suspek) dengan neneknya (si mati) sekitar 7 hingga 7.30 pagi.

Menurutnya, sebaik sahaja mendengar jeritan neneknya meminta tolong, remaja itu segera keluar dari bilik dan melarikan diri ke luar rumah untuk mendapatkan bantuan jiran.

“Beberapa jiran cuba melihat apa yang berlaku namun diancam oleh suspek, menyebabkan mereka terpaksa menghubungi pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Sebaik polis tiba, lelaki itu ditahan di hadapan rumah dan pemeriksaan lanjut menemui ibu suspek, yang berusia 68 tahun, dalam keadaan terbakar,” katanya.

Semakan mendapati suspek yang berusia 43 tahun adalah pemegang kad orang kurang upaya (OKU) mental.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk bedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan polis masih lagi menjalankan siasatan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini