KUALA LUMPUR: Wanita warga emas yang parah selepas diragut penunggang motosikal di Jalan Limau Manis, Bangsar di sini, pada 7 Oktober lalu, meninggal dunia, Sabtu lalu.
Mangsa, Lim Foong Mei, 78, sebelum ini menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) akibat pendarahan serius pada kepala selepas tersembam di atas jalan raya sebelum dibenarkan keluar wad.
Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, suspek dalam kejadian ragut itu sudah ditangkap dan dituduh di mahkamah.
Menurutnya, mangsa juga sudah dibenarkan keluar hospital dan semakan lanjut sedang dibuat berhubung kematian mangsa sama ada ada kaitan dengan kecederaan semasa kejadian ragut atau tidak.
“Cadangan akan dibuat bergantung kepada hasil semakan nanti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, berita kematian mangsa dimaklumkan oleh Presiden Persatuan Penduduk Bangsar Park, Nitesh Malani.
Mendiang dikatakan ditempatkan sebuah rumah penjagaan dan sedang dalam proses pemulihan sebelum meninggal dunia.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil melalui hantaran di media sosial, hari ini turut merakamkan ucapan takziah untuk keluarga mangsa.
Sebelum ini, tular rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian menunjukkan mangsa sedang berjalan kaki bersendirian berhampiran kawasan perumahan.
Tiba-tiba seorang lelaki menunggang motosikal menghampiri dari belakang dan meragut beg dibawa mangsa menyebabkan wanita itu tersembam di atas jalan tar.
Melalui rakaman video berdurasi dua minit 45 saat itu, mangsa dilihat terus tertiarap seketika sebelum bangun perlahan-lahan dan duduk.
Kejadian hanya disedari beberapa orang awam selepas lebih dua minit mangsa terduduk dalam keadaan kepalanya berdarah.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.