comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita warga emas ditemui selamat selepas 12 hari hilang

ROKIAH yang dilaporkan hilang sejak 23 Jun lalu di Pauh, Arau ditemukan selamat di Kodiang hari ini. – FOTO: NSTP

ARAU: Misteri kehilangan wanita warga emas sejak 12 hari lalu selepas dipercayai keluar dari rumah suami di Kampung Katong, Pauh, di sini, terjawab selepas dia ditemukan selamat di sebuah pondok di kawasan sempadan Perlis-Kedah di Gua Kerbau, Kodiang, Kubang Pasu hari ini.

Rokiah Jaafar, 60 yang dikenali sebagai Kak Ma ditemui tinggal dalam sebuah pondok lama berhampiran gua itu oleh seorang rakannya yang mengerjakan tanaman padi di kawasan berkenaan, pagi ini.

“Alhamdulillah, kami bersyukur apabila Kak Ma ditemui semula dalam keadaan selamat.”

“Saya dan ahli keluarga lain bergegas menjemputnya di pondok itu yang terletak 3.6 kilometer dari lokasi rumah suaminya ketika dia mula-mula hilang,” kata adik ipar mangsa Zunizam Ismail.

Kata Zunizam, 45, kakak iparnya dalam keadaan sihat dan dia memaklumkan hanya makan nasi putih sehari sekali bagi mengalas perut selama 12 hari tinggal di pondok itu.

“Dari mana dia dapat nasi putih itu pun tidak diketahui dan kami tidak mahu tanya banyak soalan buat masa ini.

“Selain itu, kami sudah pun membawanya ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar untuk melakukan pemeriksaan lanjut dan buat masa ini, dia sedang berehat dan tinggal dengan kami.

“Perkara ini juga sudah dimaklumkan kepada polis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi ketika dihubungi mengesahkan penemuan warga emas yang dilaporkan hilang sejak 23 Jun lalu itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini