comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita warga emas ditahan bersama 30,000 pil yaba  

Foto hiasan

KOTA BHARU: Seorang wanita warga emas antara tiga individu ditahan susulan rampasan 32,000 biji pil yaba bernilai RM197,230.

Kesemua mereka diberkas dalam dua serbuan berasingan di Kampung Pendek Batu Lima, Jalan Salor di sini dan di sebuah rumah di Kampung Padang Embon, dekat Pasir Mas.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Deputi Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, operasi oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan menahan dua lelaki berusia 29 dan 36 tahun berhampiran kedai makan di Kampung Pendek Batu Lima pada jam 5 petang.

Katanya, dua lelaki itu ditahan sebaik keluar daripada kereta Perodua Myvi.

Pemeriksaan lanjut dalam kereta menemukan bungkusan plastik yang mengandungi 2,000 biji pil yaba dengan anggaran berat 242 gram (g).

“Dengan dipandu arah oleh seorang daripada suspek, membawa pihak polis ke sebuah rumah di Kampung Padang Embon dan berjaya menahan seorang wanita berusia 68 tahun yang berada di dalam rumah.

“Pemeriksaan di sebuah bilik menjumpai lima bungkusan berada dalam laci dan di dalamnya terdapat 30,000 biji pil yaba dengan anggaran berat 3.366 kilogram (kg).

“Perodua Myvi yang dirampas bernilai RM25,000 dan nilai rampasan dadah dengan kenderaan itu adalah RM222,230,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mohd Ali berkata, ujian saringan awal mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah namun, seorang daripada mereka mempunyai dua rekod kes dadah.

Beliau berkata, siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Kedua-dua suspek lelaki direman tujuh hari bermula hari ini sehingga 31 Disember ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini