Tumpuan :
Nasional

Wanita warga asing didenda RM15,000 miliki barangan kawalan tanpa lesen

FOTO: Ihsan KPDN Sarawak

KUCHING: Seorang wanita warga asing didenda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen Kota Samarahan hari ini selepas disabit kesalahan memiliki barang kawalan tanpa lesen.

Tertuduh didakwa memiliki barangan terbabit iaitu minyak masak seberat 340 kilogram (kg) ketika pemeriksaan yang dilakukan oleh pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak di Tebedu, baru-baru ini.

Pertuduhan terhadap tertuduh wanita warga asing terbabit dibacakan di hadapan Hakim Shafiza Datu Abdul Razak Tready dengan tertuduh disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengarah KPDN Sarawak, Mathew Dominic Barin memaklumkan tertuduh telah membayar denda terbabit sekali gus mengelakkannya daripada perlu menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal menjelaskan denda terbabit.

“KPDN Sarawak juga memohon perlucutan hak terhadap semua barangan ekshibit iaitu minyak masak seberat 340kg yang dianggarkan bernilai RM30,850 bagi tujuan pelupusan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Katanya, KPDN akan terus melaksanakan pemantauan dan mempergiatkan operasi penguatkuasaan di seluruh Sarawak bagi memastikan tiada berlaku ketirisan terutamanya membabitkan barangan bersubsidi.

Pada masa sama, ia juga bagi melindungi hak-hak pengguna selain turut memastikan barangan bersubsidi dapat terus memberikan manfaat kepada mereka yang layak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini