comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita tunggang motosikal dari Changkat Jering ke KL jual sayur kampung

FOTO: NSTP

TAIPING: Seorang wanita menempuh perjalanan hampir 300 kilometer (km) dengan menunggang motosikal lebih empat jam ke Kuala Lumpur semata-mata mahu berniaga sayuran kampung sejak pertengahan tahun lalu.

Siti Norol Salwani Ismail, 29, dari Changkat Jering, memulakan perniagaan menjual sayuran kampung di ibu negara demi menyara seorang anaknya berusia 10 tahun ketika bergelar ibu tunggal.

Dia yang baru melangsungkan perkahwinan kali kedua Jumaat lalu berkata, idea berniaga sayur kampung di Bandar Sri Permaisuri, Cheras, terlintas secara tiba-tiba selepas terbeli pucuk paku tua dan sayuran lain dengan harga mahal dan tidak segar ketika berada di ibu negara tahun lalu.

FOTO: NSTP

“Selepas kejadian itu, terlintas di fikiran untuk cuba berkongsi dengan menjual hasil tanaman kampung segar dengan orang Kuala Lumpur memandangkan ia mudah di peroleh di Bukit Gantang dan Changkat Jering.

“Pada awalnya agak berat untuk saya memulakan perniagaan memandangkan jarak yang mahu ditempuhi beratus kilometer dan mengambil masa lebih empat jam ditambah pula dengan hanya menaiki motosikal.

“Namun tak disangka percubaan pertama berniaga di sana, segala sayur kampung seperti petai, pucuk paku, pucuk ubi, bayam brazil, belalai gajah, nangka muda, durian belanda, kacang itik, jering dan ulam-ulaman laris terjual,” katanya kepada Berita Harian.

Menurutnya, harga sayur-sayuran yang dijual di sana sama seperti di Changkat Jering namun berbeza dari segi kesegarannya.

“Harga yang saya jual bermula RM2 hingga RM10 sahaja, tak banyak beza jika dibandingkan dengan jualan di Changkat Jering.

“Hampir setiap minggu saya akan berulang alik dari Changkat Jering ke Kuala Lumpur dengan sebuah motosikal Honda FI 125 hanya untuk berniaga sayur kampung,” katanya.

Anak kelima dari 10 beradik itu berkata, antara rintangan sering dihadapinya adalah tayar motosikal pancit selain berdepan keadaan cuaca yang tidak menentu.

“Perkara itu dah biasa dan sering saya lalui sehinggakan pernah satu ketika motosikal saya tersadai di lebuh raya.

“Kos anggaran untuk ke Kuala Lumpur termasuk makan minum sekitar RM50 namun itu bukanlah halangan dan saya berasa puas apabila dapat berkongsi sayur segar dengan penduduk di Kuala Lumpur,” katanya.

Siti Norol Salwani berkata perniagaannya terhenti awal tahun ini berikutan menguruskan hal perkahwinannya dengan pilihan hati.

Dia tekad meneruskan perniagaannya selepas menerima motosikal baru dibelinya berikutan motosikal lamanya mengalami kerosakan teruk.

“Suami juga tidak melarang dan turut merancang untuk sama-sama berniaga di Kuala Lumpur,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini