Tumpuan :
Nasional

Wanita, teman lelaki ditahan kes dera anak hingga mati

Foto hiasan

AMPANG: Seorang wanita dan teman lelakinya ditahan polis selepas dipercayai mendera hingga menyebabkan kematian kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang juga anak wanita terbabit dalam kejadian di Taman Bukit Ampang, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kedua-dua suspek ditahan di Jalan Zamrud, Taman Bukit Ampang, di sini, pada 5.17 petang, semalam.

Menurutnya, ibu kandung mangsa menghubungi Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya memberitahu kanak-kanak itu sedang tidur dan sudah tidak bernafas pada 2.36 petang, semalam sebelum anggota bertugas diarah ke lokasi untuk tindakan lanjut.

“Mangsa adalah kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun dipercayai didera oleh ibu kandung dan teman lelakinya di rumah. Mangsa juga mengalami kecederaan seperti kesan lebam pada bahagian muka, leher, tangan dan kaki.

“Mangsa meninggal dunia di rumah dan dibawa ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk dibedah siasat. Hasil bedah siasat mendapati punca kematian kanak-kanak berkenaan adalah kerana pendarahan di dalam kepala,” katanya dalam kenyataan, di sini, malam ini.

Katanya, mangsa dipercayai dipukul dengan objek keras dan tumpul secara berulang namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti sudah berapa lama kanak-kanak itu didera.

“Kedua-dua suspek berusia 36 dan 25 tahun direman selama tujuh hari bermula Sabtu hingga 17 Januari depan. Saringan ujian air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah dan hasil semakan juga mendapati lelaki itu mempunyai tiga rekod lampau.

“Lelaki itu bekerja sebagai jurujual (tetapi) tak tetap, manakala wanita berkenaan tidak bekerja. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini