Tumpuan :
Nasional

Wanita, teman lelaki bakal berdepan hukuman sebat setelah berkhalwat kali kedua

Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT).

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita dan pasangannya bakal berdepan hukuman sebatan selepas ditangkap berkhalwat kali kedua, Selasa lalu.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Aizi Saidi Abdul Aziz berkata, wanita berusia 36 tahun itu ditangkap khalwat bersama teman lelaki berusia 32 tahun di rumah sewa di Kuala Ibai, kira-kira jam 3 pagi.

Katanya, pasangan itu dibawa ke Unit Penguat kuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut dan dibebaskan dengan bon jaminan.

“Berdasarkan rekod, mereka pernah ditangkap kerana kesalahan yang sama sebelum ini.

“Bagi kesalahan kali kedua, pasangan itu boleh dihukum sebat atas pertimbangan hakim sama ada di khalayak ramai atau di penjara,” katanya.

Menurutnya, mereka disiasat mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022.

Dalam pada itu, Aizi Saidi berkata, 146 kes tangkapan khalwat di seluruh negeri dilapor dalam tempoh lapan bulan bermula Januari lalu.

“Kemaman merekodkan tangkapan tertinggi iaitu 42 kes, diikuti Kuala Terengganu (41 kes), Besut (19 kes), Marang (17 kes), Dungun (13 kes), Setiu (empat kes) dan Hulu Terengganu (dua kes),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini