LENGGONG: Seorang wanita terselamat daripada maut apabila kenderaan dipandunya terbabas lalu terbakar dalam kejadian dekat Kampung Baru Air Kala, Jalan Lenggong-Gerik di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, wanita berumur 28 tahun berkenaan bagaimanapun mengalami cedera ringan susulan kemalangan itu.
Katanya, bomba menerima panggilan kejadian itu jam 8.45 pagi tadi dengan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lenggong dikejarkan ke lokasi bagi tugas memadamkan kebakaran.
Beliau berkata, mangsa berjaya keluar sendiri dari kenderaan jenis Nissan Sentra itu sebelum ketibaan bomba di lokasi.
“Mangsa mengalami cedera ringan dan dihantar ke klinik menaiki ambulans pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Kereta berkenaan musnah 85 peratus.
“Bomba melakukan pemadaman api menggunakan satu aliran gelung hos air dari tangki jentera sehingga api dipadam sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.