Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah
DUNGUN: Seorang wanita, Norizan Ismail, 50 tahun, yang dilaporkan menjadi punca kemalangan hingga menyebabkan kematian tiga pelajar Uiversiti Teknologi Mara (UITM) Dungun, Terengganu, layak dibicarakan dan memberi pengakuan.
Majistret Nur Amira Fatihah Osman menetap 20 Februari depan sebagai tarikh izin dakwa, sebelum pendakwaan dibuat Mahkamah Tinggi.
Mahkamah membuat ketetapan itu selepas pengurusan kes bagi laporan psikiatri terhadap tertuduh selesai.
Ringkas AI
Mahkamah Tetapkan Tarikh Perbicaraan: Norizan Ismail, 50, yang didakwa menyebabkan kematian tiga pelajar UiTM Dungun dalam kemalangan Oktober lalu, akan dibicarakan pada 20 Februari depan selepas laporan psikiatri selesai.
Dakwaan di Bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan: Tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara 30 hingga 40 tahun serta minimum 12 sebatan jika disabitkan bersalah.
Kemalangan Tragis di Jalan Pantai UiTM Dungun: Insiden berlaku pada 9 Oktober lalu apabila SUV yang dipandu tertuduh merempuh dua motosikal, mengorbankan tiga pelajar dan mencederakan seorang lagi.
Sebelum ini tertuduh didakwa telah melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Muhammad Akmal Md Tukirin, 25 tahun, Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anuar Jamaluddin, masing-masing berusia 20 tahun.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 9 Oktober lalu di Jalan Pantai berhadapan Universiti Teknologi Mara, Dungun, jam 7.35 malam.
Pertuduhan dilakukan mengikut seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun dan jika tidak dihukum mati hendaklah dijuga dihukum sebat, tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Nur Azhani Azman, manakala tertuduh diwakili peguam, Norhabibah Norulalzahar.
Dalam kejadian 9 Oktober lalu, wanita berkenaan yang memandu kenderaan SUV merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus.
Ku Adib Aizad Ku Azmi, Khairil Anwar Jamaludin, dan Muhammad Akmal Md Tukirin, disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian.
Seorang lagi mangsa Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20 tahun, cedera.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.