Tumpuan :
Nasional

Wanita sarat mengandung diselamatkan dari banjir, lahirkan bayi perempuan

Oleh: Kadir Edison

KAPIT: Seorang wanita sarat mengandung yang diselamatkan dari banjir di Rumah Engkeng, Sungai Amang, melahirkan bayi perempuan seberat 2.7 kilogram di Wad Bersalin Hospital Kapit jam 7.33 pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak berkata, wanita berkenaan Anita Bedimbap, 26, diselamatkan selepas pihaknya menerima pangilan kecemasan mengenai kejadian banjir di rumah panjang berkenaan jam 5.00 pagi tadi.

“Ketika operasi menyelamat dijalankan, air sudah berada paras tiga meter dan hanya satu meter dari lantai rumah panjang berkenaan.

“Wanita yang sedang sarat dan mahu melahirkan anak terbabit dipindahkan oleh pasukan bomba bersama dua yang lain iaitu seorang lelaki dan wanita menggunakan perahu milik penduduk rumah panjang berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Wanita itu tidak dapat menahan proses kelahiran dan orang awam nekad membawanya ke hospital menggunakan van persendirian.

Wanita itu bersama bayinya dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini