KUALA LUMPUR: Wanita Russia yang menceroboh bagi memanjat Menara Merdeka 118 di sini, mendedahkan dia memakai tudung dan menyamar sebagai pekerja pembinaan untuk memasuki bangunan tertinggi negara itu.
Pendedahan wanita dikenali sebagai Angela Nikolau itu dibuat melalui Twitternya semalam, memperincikan bagaimana dia menghabiskan beberapa minggu untuk mencari butiran-butiran penting berkaitan sebelum misi berkenaan.
Sebelum menceroboh, Angela memaklumkan, dia menyewa sebuah apartmen dengan pemandangan Menara Merdeka 118, hanya untuk menjalankan pengawasan dan pemerhatian terhadap bangunan itu.
Katanya, dia juga menyamar sebagai pekerja pembinaan termasuk bertudung untuk memudahkan akses ke dalam bangunan tertinggi di Malayia dan antara tertinggi dunia itu.
“Hari X, saya memulakan misi. Saya memakai hijab, cermin mata dan pakaian pekerja pembinaan untuk tidak dikenali langsung. Mulanya saya berlari sehingga ke tingkat 32 sebelum keadaan jadi terlampau panas.
“Saya terpaksa baring di atas lantai konkrit dalam keadaan separuh bogel untuk menyejukkan badan sedikit dan minum semua air yang ada,” ciapnya yang turut berkongsi dua keping gambar, termasuk ketika menyamar dengan memakai tudung.
Mengakui kehadirannya dikesan sewaktu sedang berehat yang membuatkannya berasa cemas, wanita terbabit turut berkongsi gambarnya yang tidak tidur serta tiada makanan mahupun minuman.
“Mimpi ngeri bermula dan saya menemui satu tempat bersembunyi di dalam kotak konkrit kecil yang tidak dapat meregangkan kaki. Saya perlu menghabiskan lebih 20 jam di sana. 25 jam kemudian, saya tidak mempunyai makanan, tidak ada air dan tidak tidur.
“Saya tidak dapat meregangkan kaki saya dan seluruh badan saya kaku dan sakit. Saya tidak boleh menangis pun kerana pekerja berada di sebelah saya akan mendengar esakan dan akan menyerahkan saya kepada pihak keselamatan. Masa paling teruk dalam hidup saya,” ciapnya lagi.
Ketika pekerja di tapak projek berhenti untuk berehat, Angle mengambil kesempatan terus memanjat ke atas bumbung.
“Tinggi menara itu 53 tingkat dan saya memakai beg galas seberat 15 kilogram. Jika anda melihat foto sebelumnya, kamu tidak akan melihat bahagian bawahnya. Saya tidak pasti akan memanjat jika tahu betapa tinggi (menara).
“Selepas selesai memanjat, saya tidak dapat rasa tangan saya, malah tidak dapat mengangkatnya,” katanya.
Dalam ciapan sama, Angela mempertahankan tindakannya dan tidak mengaku melalukan kesalahan menceroboh, sebaliknya menggunakan alasan hanya untuk mencipta seni dengan merakamkan kenangan bersama bangunan tertinggi di dunia.
“Saya menghormati undang-undang setiap negara dan saya berhati-hati untuk tidak menyebabkan sebarang kerosakan,” katanya.
Terdahulu, gambar Angela dan seorang lelaki, Ivan Beerkus dari puncak bangunan kedua tertinggi di dunia berkenaan dimuat naik di laman sesawang SkyscraperCity.com dengan mereka dipercayai menggunakan dron untuk mengambil gambar dan memanjat tangga dari dalam menara untuk ke puncak.
Dalam hantaran dimuat naik Ivan di laman sesawang itu, dia memaklumkan pengalaman berada di atas puncak menara berkenaan sebagai sesuatu yang ‘gila’, manakala Angela menerusi hantaran di Twitter, menulis dia tidak ditahan semasa memanjat menara terbabit yang belum lagi dibuka kepada umum.
Susulan itu, Polis Kuala Lumpur pada 28 Disember lalu, memaklumkan akan menjalankan siasatan terhadap pasangan dari Russia berkenaan yang sememangnya dikenali dengan lagak aksi di beberapa bangunan tinggi di seluruh dunia, atas tuduhan menceroboh.
Ahad lalu, Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman, dilaporkan berkata pihaknya bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia (SKMM) dan Jabatan Imigresen bagi membantu siasatan kes pasangan terbabit.