Tumpuan :
Nasional

Wanita Malaysia ditahan di Golok, disyaki miliki pil yaba, syabu

Seorang wanita Malaysia dan rakan warga Thailand ditahan di bandar Sungai Golok kerana didakwa memiliki pil Yaba dan syabu.- Foto ihsan polis Thailand

KOTA BHARU: Seorang wanita warga Malaysia berusia 54 tahun ditahan polis Thailand kerana didakwa memiliki 1,542 pil Yaba dan 39 gram syabu di pekan Sungai Golok.

Wanita itu ditahan bersama seorang wanita Thailand dalam serbuan berasingan di Choltharan Khet Road dan Witiutok Road di daerah kecil Sungai Golok pada 11 Februari lalu.

Ketua Polis Sungai Golok, Kol Pol Jetsadawit Inprapan berkata, turut dirampas dalam serbuan itu ialah 39 gram syabu.

“Pasukan narkotik polis daerah dengan bantuan polis imigresen menyerbu dua kawasan itu kira-kira jam 1 tengah hari (waktu Thailand) berdasarkan maklumat awam.

“Setelah memeriksa kedua-dua kawasan itu, mereka menjumpai pil Yaba dan ais itu. Mereka kemudian menahan wanita warga Malaysia itu dan rakannya warga Thailand berusia 45 tahun.

“Wanita warga Malaysia itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Beliau berkata, wanita warga Malaysia itu akan berdepan pertuduhan bersama kerana menjual narkotik Kategori 1 (methamphetamine dan syabu) dengan niat mengedar untuk tujuan komersial dan penggunaan haram narkotik Kategori 1 (methamphetamine).

Wanita warga Thailand itu katanya akan didakwa secara bersama menjual narkotik Kategori 1 (methamphetamine dan syabu) dengan niat untuk mengedar untuk tujuan komersial.

Jetsadawit berkata, suspek ditahan di Balai Polis Sungai Golok untuk prosiding undang-undang.

Loading...
Terkini