comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita pengsan lihat rumah terbakar, sangka anak sakit terperangkap

Antara kediaman yang musnah terbakar di Kampung Merbau, malam tadi. FOTO: Ihsan Pembaca

PASIR MAS: Seorang wanita di Kampung Merbau, Alor Pasir, di sini, pengsan sebaik melihat kediamannya musnah dijilat api dan menyangkakan anaknya yang sedang sakit terperangkap dalam kebakaran itu, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.56 malam itu, saksi kejadian, Maizan Abdullah, 51, berkata, jirannya itu, Noor Riza Mat Zain, 55, ketika itu di luar rumah untuk makan malam dan bergegas pulang selepas dimaklumkan kediamannya terbakar.

Katanya, Noor Riza dilihat pengsan sebaik tiba di lokasi kejadian, manakala anaknya, Ahmad Lutfir Rahman Pakerdin, 26, yang mengalami masalah kemurungan berjaya menyelamatkan diri dengan terjun daripada tingkap rumah ketika api sedang marak.

“Sebanyak tiga rumah terbabit dalam kebakaran ini dan Alhamdulillah, rumah saya terselamat walaupun hanya berjarak beberapa meter sahaja.

“Kesemua jiran yang terbabit menumpang di rumah saudara mereka buat sementara waktu dan saya berharap mereka tabah menghadapi dugaan ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Mas Mohd Azmi Hussin berkata, pihaknya dibantu anggota BBP Rantau Panjang bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan.

“Tiga rumah terbakar dan kami mengambil masa selama 30 minit untuk memadamkan kebakaran sepenuhnya.

“Sebuah kereta Perodua Myvi dan empat motosikal turut terbakar dalam kejadian itu. Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini