comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Wanita parah diserang tiga anjing

Kesan kecederaan yang dialami Cheah Hean Hoon akibat digigit anjing dalam kejadian di Medan Terengganu di George Town semalam. Foto ihsan Hean Hoon.

GEORGE TOWN: Seorang wanita di Medan Terengganu di sini, kesal dengan tindakan jirannya tidak merantai anjing peliharaan menyebabkan dia diserang dan digigit tiga ekor anjing.

Insiden menyebabkan mangsa, Cheah Hean Hoon, 49, cedera di beberapa bahagian badan dan terpaksa menjalani pembedahan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang semalam.

Mangsa ketika itu sedang berjalan kaki pulang ke rumahnya yang terletak beberapa meter dari tempat kejadian.

Hean Hoon berkata ketika melalui rumah itu, tiga anjing berkenaan meluru keluar dan menggigitnya tanpa sempat dia melarikan diri.

“Lebih malang, tiada sesiapa (ada berhampiran) ketika kejadian itu berlaku dan saya tidak berdaya melawan anjing berkenaan bersendirian.”

Pagar rumah pemilik anjing di Medan Terengganu, George Town yang rosak menyebabkan haiwan peliharaannya bebas keluar dan menyerang orang awam. Foto ihsan Hean Hoon.

“Akibatnya, tangan kanan saya mengalami kecederaan manakala isi di paha kiri dan kanan juga terkoyak,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Mengulas lanjut Hean Hoon berkata dia kemudian menghubungi abang iparnya sebelum dia dibawa ke sebuah hospital swasta bagi mendapatkan rawatan.

Katanya, dia terpaksa dimasukkan ke wad bagi menjalani pembedahan dan keadaan kesihatannya perlu dipantau dengan kerap.

“Memandangkan esok adalah Tahun Baharu Cina, doktor membenarkan saya keluar dari wad hari ini namun perlu datang ke hospital setiap 12 jam selama seminggu, bagi diberi suntikan.”

“Keadaan saya agak lemah dan mungkin tidak dapat menghadiri ‘makan besar’ bersama keluarga pada malam ini,” katanya lagi.

Susulan itu, satu laporan dibuat oleh abang iparnya di Balai Polis Datuk Keramat di sini, semalam berhubung kejadian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pemilik yang tidak merantai anjingnya.

Hean Hoon berkata pemilik berkenaan juga tidak membaiki kerosakan pada pagar rumahnya sehingga membolehkan anjing peliharaan keluar dari kawasan rumah berkenaan.

“Kejadian ini bukan pertama kali malah ahli keluarga dan beberapa jiran juga pernah digigit anjing berkenaan namun pemilik haiwan itu enggan bertanggungjawab.”

“Penduduk pernah bersemuka dengannya dan pemilik haiwan itu dengan angkuh meminta orang ramai tidak melalui hadapan rumahnya.”

“Bayangkan jika anjing itu menyerang kanak-kanak sudah tentu kesannya lebih buruk dan jika masih tiada tindakan, saya akan buat laporan polis sekali lagi kerana ia beri ancaman kepada penduduk,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini