GEORGETOWN: Panik akibat tersalah laluan dipercayai menyebabkan pemandu kereta mewah meneruskan perjalanan secara lawan arus sebelum bertembung sebuah kenderaan lain dalam kejadian di Lebuh raya Tun Dr Lim Cheong Eu di sini pada Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata berdasarkan siasatan awal, wanita itu mendakwa pergi ke sebuah restoran yang terletak di kawasan Persiaran Karpal Singh, kira-kira jam 12 tengah malam sebelum kejadian.
Beliau berkata, ketika mahu pulang, wanita yang bekerja sebagai pegawai bank itu menyedari sudah tersalah jalan dan masuk ke laluan bertentangan di lebuh raya itu.
“Dia panik dan tidak tahu hendak berpatah balik sebelum meneruskan perjalanan. Bagaimanapun kita akan teruskan siasatan termasuk menilai rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
“Sampel darah wanita itu juga sudah diambil dan dihantar ke jabatan kimia bagi analisa sama ada mengandungi dadah atau alkohol,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini, hari ini.
Terdahulu media melaporkan seorang pemuda berusia 22 tahun cedera selepas kenderaan dinaikinya dirempuh sebuah kereta mewah dipandu secara melawan arus di susur keluar Jambatan Pulau Pinang menghala Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini.
Dalam kejadian itu, kereta Perodua Bezza dipandu mangsa dikatakan dirempuh pemandu BMW 5 Series berusia 41 tahun yang dikesan memandu secara melawan arus dari arah pusat bandar.
Mengulas lanjut Soffian berkata, pada masa ini kedua-dua mangsa masih menerima rawatan di hospital.
Katanya, mangsa yang dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) sudah menjalani pembedahan dan usus kecil lelaki itu terpaksa dibuang susulan kecederaan akibat kemalangan terbabit.
“Manakala pemandu BMW yang dirawat di hospital swasta ditahan selama tiga hari lagi berikutan kecederaan di dada.
“Tangkapan belum dibuat dan kita belum rakam percakapan kerana kedua-duanya masih dalam pemerhatian doktor. Keterangan akan diambil apabila mereka sudah stabil untuk siasatan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN|