Tumpuan :
Nasional

Wanita Orang Asli dipatuk ular perlu lebih 24 jam untuk diselamatkan

Pasukan penyelamat membabitkan bomba, polis, dan malim gunung menyelamatkan seorang wanita berketurunan Orang Asli dari Kampung Lenweng, Rancangan Penempatam Sementara (RPS) Pos Kemar, di sini yang dipatuk ular. – FOTO: Ihsan Bomba Perak

GERIK: Lebih 24 jam masa diperlukan oleh pasukan penyelamat membabitkan bomba, polis dan malim gunung untuk membawa keluar bagi menyelamatkan seorang wanita berketurunan Orang Asli dari Kampung Lenweng, Rancangan Penempatan Sementara (RPS) Pos Kemar, di sini yang dipatuk ular.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, panggilan kejadian diterima jam 3 petang semalam  (Sabtu) dengan pihaknya membabitkan lima anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan BBP Pengkalan Hulu tiba di Pos Kemar jam 6.10 petang Sabtu.

Katanya, ketibaan pasukan menyelamat di Kampung Lenweng sekitar jam 12.30 tengah malam Ahad mendapati mangsa yang dikenali sebagai Ana Along, 32, dipatuk ular sejak  Selasa lalu dan mengalami gejala muntah serta tidak dapat berjalan.

FOTO: Ihsan Bomba Perak

Menurutnya, jarak dari Pos Kemar ke kampung berkenaan dianggarkan sekitar 10 kilometer (km) dan memerlukan pasukan penyelamat yang disertai dua anggota polis serta dua malim gunung perhutanan melalui kawasan berbukit dan melintasi sungai.

Sabarodzi berkata, pasukan operasi yang mula membawa keluar mangsa jam 8 pagi tadi (Ahad) hingga sampai di Pos Kemar jam 7 malam tadi (Ahad) pada awalnya memutuskan mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan (KK) Pos Kemar untuk rawatan.

“Bagaimanapun, Pegawai Perubatan di situ memaklumkan mangsa perlu dihantar ke hospital sesegera mungkin. Justeru Komander Operasi, Azizan Aziz bersama anggota akan mengiringi mangsa sehingga ke hospital,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Menurutnya lagi, operasi itu membabitkan kekuatan logistik dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Hilux dan penggubahan sebuah bot aluminium bagi membolehkan anggota penyelamat menuju ke RPS Pos Kemar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini