SABAK BERNAM: Misteri kehilangan seorang wanita Orang Kelainan Upaya (OKU) terjawab apabila mayatnya ditemui di kawasan semak di Kilometer 35-36, Jalan Klang-Teluk Intan, pagi tadi.
Mayat Ruzina Mohd Razali, 48, ditemui dalam keadaan berbaring sekitar jam 9.15 pagi oleh anggota polis yang sedang meronda.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Khalid Mohamad, berkata dua beg mengandungi pakaian, sepasang selipar getah, serta barang berharga seperti dua gelang emas dan dompet ditemui berhampiran mangsa.
“Pemeriksaan tubuh mangsa tidak menemukan kesan luka yang boleh dikaitkan dengan kemalangan atau jenayah.
“Wanita itu mempunyai rawatan berkala dengan Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) Sabak Bernam di mana pengambilan ubat dipantau sendiri oleh suaminya.
“Mangsa sebelum ini menyatakan hasrat untuk pulang ke kampung di Perak namun tidak mempunyai waris atau saudara-mara di sana,” katanya.
Mangsa dilaporkan hilang oleh keluarganya selepas kali terakhir dilihat di rumah pada jam 5 pagi. Pencarian awal keluarga di sekitar kawasan Taman Air Manis dan pekan Sabak Bernam tidak berhasil.
“Bedah siasat mendapati punca kematian adalah serangan jantung, dan kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.