Tumpuan :
Nasional

Wanita nyaris maut, kereta dihempap pokok kelapa

Kereta Perodua Axia dihempap pokok kelapa yang ditebang individu di tepi jalan namun pemandunya selamat. – FOTO: NSTP/ Ihsan PDRM

SUNGAI PETANI: Seorang wanita nyaris maut selepas kereta Perodua Axia yang dipandunya dihempap sebatang pokok kelapa yang ditebang seorang lelaki di Kilometer 69, Jalan Alor Setar-Butterworth, semalam.

Kejadian itu turut ditular di media sosial Facebook (FB).

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kejadian dipercayai berlaku jam 6.10 petang membabitkan kereta yang dipandu suri rumah berusia 27 tahun itu.

Beliau berkata, siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kemalangan berlaku ketika wanita itu membelok ke kanan untuk keluar simpang dari Kampung Paya Kerchut, dan hendak bergerak menghala ke pekan Tikam Batu.

FOTO: NSTP/ Ihsan PDRM

“Bagaimanapun, secara tiba-tiba pokok kelapa di tepi jalan sebelah kiri itu tumbang dan menghempap kereta yang dipandu mangsa.

“Akibat kemalangan itu, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk diberi rawatan dan tidak mengalami kecederaan serius,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Wan Azharuddin berkata, kejadian disyaki berlaku apabila pemilik tanah itu mengupah orang untuk menebang pokok kelapa terbabit sebelum pokok itu tumbang.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Rule 16 LN 166/59.

“Kita turut merakam percakapan pemandu kereta serta pemilik tanah itu untuk membantu siasatan.

“Setakat ini kita sedang mengesan individu yang memotong pokok kelapa berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini