Tumpuan :
Nasional

Wanita murung kurung diri dalam tandas, berjaya dipujuk Bomba

Ahli keluarga menenangkan wanita yang mengalami masalah emosi dan kemurungan di rumah mereka di Parit 7 Belah Laut, hari ini. FOTO IHSAN BOMBA

SEKINCHAN: Anggota Bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memujuk dan membawa keluar wanita yang dipercayai kemurungan sehingga bertindak mengurung dirinya dalam tandas rumahnya di Parit 7 Belah Laut di sini, sejak semalam.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan Penyelamat, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan pada 7.52 pagi tadi mengenai tindakan wanita berusia 25 tahun.

Menurutnya, sepasukan enam anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sekinchan dikejarkan ke tempat kejadian.

“Tiba di lokasi, anggota bertugas mendapati wanita itu masih berada dalam tandas.

“Berdasarkan maklumat ibu mangsa, anak perempuannya itu mengalami masalah emosi dan sering kemurungan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) kemudiannya melakukan pemeriksaan kesihatan dan mendapati mangsa dalam keadaan baik namun keletihan.

“Wanita itu kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Loading...
Terkini