GOPENG: Seorang wanita maut manakala suaminya cedera apabila lori ais dinaiki mereka merempuh belakang sebuah treler di Jalan Ipoh-Kampar dekat Kampung Pulai, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian itu, Suhaili Abdul Razak, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat tersepit di tempat duduk kelindan.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika pasangan suami isteri itu dalam perjalanan menghantar bungkusan ais ke kedai.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata, anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gopeng digerakkan ke lokasi sebaik panggilan diterima jam 5.15 pagi.
Katanya, nahas membabitkan lori ais satu tan jenis Isuzu dinaiki wanita berusia 28 tahun itu dan suaminya berusia 24 tahun merempuh belakang treler.
“Wanita itu disahkan maut di lokasi kejadian, manakala suaminya yang juga pemandu cedera ringan, sementara pemandu treler tidak cedera.
“Mayat dikeluarkan menggunakan peralatan menyelamat dan diserah kepada polis untuk tindakan lanjut, manakala mangsa cedera dihantar ke hospital oleh ambulans,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.