KUALA SELANGOR: Seorang wanita maut, manakala tiga lagi cedera termasuk suami mangsa parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Puncak Alam di sini, pagi tadi.
Dalam satu kenyataan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 10:08 pagi.
Kejadian itu dikatakan berpunca daripada kenderaan Isuzu Dmax yang dalam perjalanan menuju ke Puncak Alam telah melanggar belakang lori 3 tan menyebabkannya hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan.
Kenderaan Isuzu Dmax itu kemudian bertembung dengan kereta Proton Savvy dan kereta Proton Persona.
Pemandu Proton Savvy yang tersepit dan cedera parah dikeluarkan oleh pihak bomba.
Bagaimanapun isterinya disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
Mangsa yang maut dikenali sebagai Aliah Jaafar, 67 tahun.
Pemandu dan penumpang kenderaan lain hanya cedera ringan.