comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Wanita maut, suami parah dalam kemalangan di Gua Musang 


GUA MUSANG: Seorang wanita warga emas maut apabila kenderaan dipandu suaminya terbabas sebelum dirempuh kenderaan lain di Kilometer (km) 60 Jalan Gua Musang-Lojing di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 3.40 petang itu mangsa, Maznah Mat Nor, 63, dari Kampung Pangkal Meleret, Machang disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang.

Suaminya, Ariffin Mamat, 75, parah apabila mengalami kecederaan dalaman, manakala seorang lagi pemandu Perodua Myvi berusia 44 tahun mengalami luka di tangan kanan dan kiri serta dahi.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati pasangan warga emas yang juga menaiki Perodua Myvi dalam perjalanan dari Gua Musang ke Lojing.

FOTO: PDRM

Katanya, apabila sampai di lokasi kejadian, ketika mengambil selekoh, kenderaan dipandu suami mangsa hilang kawalan.

“Kenderaan dipandu lelaki warga emas itu berpusing dan masuk ke laluan bertentangan lalu dilanggar pemandu Myvi yang berada di laluan sah.

“Ketiga-tiga mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk menerima rawatan. Mangsa warga emas wanita disahkan meninggal dunia pada pada jam 7.08 malam ketika menerima rawatan di hospital,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Choon Foo berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Gua Musang untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada ahli keluarga.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang menyaksikan kejadian diminta menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang di talian 09-9121222 atau Pegawai Penyiasat di talian 013-3010408.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini