comscore
Tumpuan :
Nasional

[KEMAS KINI] Wanita & adik lelaki maut selepas rumah dirempuh treler

KUANTAN: Seorang wanita dan adik lelakinya maut selepas rumah mereka dirempuh sebuah treler yang terbabas di Kampung Ketapang Hilir, Pekan, di sini hari ini.

Mangsa yang meninggal dunia ialah Nurnazatul Fasiha Nasruddin, 33 maut di tempat kejadian manakala adiknya, Mohd Waldon Faris Nasruddin, 25 meninggal dunia pada jam 1.30 tengah hari ini.

Sementara itu Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani, berkata berdasarkan laporan, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.46 pagi.

Katanya, kejadian itu turut mencederakan tiga mangsa termasuk pemandu treler manakala tiga lagi individu dilaporkan selamat.

“Kemalangan itu membabitkan sebuah treler yang membawa barangan pelbagai terbabas dan melanggar rumah jenis separuh kekal dihuni mangsa.

Artikel selanjutnya: Pemandu treler rempuh rumah didapati positif dadah

“Sebaik menerima panggilan itu, seramai 16 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan dan BBP Peramu Jaya bergegas ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian, seorang wanita berada di bawah runtuhan sebelum operasi menyelamatkan digerakkan.

“Tiga mangsa yang cedera termasuk pemandu lori dihantar ke Hospital Pekan untuk menerima rawatan,” katanya.

Ismail berkata, hasil operasi yang dijalankan, mangsa yang dilaporkan berada di bawah runtuhan itu ditemukan berada di bawah hadapan lori.

“Mangsa yang disahkan meninggal dunia diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini