Tumpuan :
Nasional

Wanita maut pikap bertembung lori

Anggota bomba dan penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit dalam pikap yang remuk akibat kemalangan malam tadi. – Foto: NSTP

SARIKEI: Seorang maut manakala empat lagi cedera, selepas pikap dinaiki mereka bertembung lori berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh di sini, malam tadi.

Mangsa yang maut dikenali Julia Chenderang, 54, akibat tersepit di bahagian tempat duduk pikap berkenaan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi oleh petugas perubatan.

“Ada lima mangsa dalam pikap dengan mangsa wanita tersepit di tempat duduk penumpang hadapan dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Empat lagi mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sarikei menggunakan jentera EMRS dan ambulans.

“Pemandu dan kelindan lori masing-masing lelaki berusia 43 dan 47 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu,” katanya.

Terdahulu, pihaknya menerima laporan kes itu jam 11.39 malam sebelum menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei ke lokasi.

Loading...
Terkini