
SUNGAI PETANI: Seorang wanita maut selepas motosikal yang ditungganginya terlanggar memerang yang melintas sebelum dirempuh sebuah kereta di Jalan Lencongan Barat berhampiran Murthada Dakwah Care (MADAD) di sini tengah malam tadi.
Dalam kejadian itu, mangsa, Siti Nadhirah Anuar, 22, yang bekerja sebagai jurujual dan menetap di Kampung Bakar Bata, Pinang Tunggal, meninggal dunia di tempat kejadian akibat pelbagai kecederaan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, kemalangan dipercayai berlaku pada jam 12.15 tengah malam yang membabitkan sebuah motosikal dengan sebuah kereta.
Beliau berkata, arah perjalanan kedua-dua buah kenderaan terbabit adalah sama iaitu dari Sungai Jagung menghala Taman Nilam.
“Hasil siasatan awal yang dilakukan mendapati, kejadian berlaku sewaktu mangsa yang menunggang motosikal Yamaha Ego Avantis yang ketika itu sedang bergerak lurus sebelum terlanggar binatang (memerang) yang sedang melintas dari kanan ke kiri jalan.
“Susulan daripada itu, mangsa terjatuh ke kanan jalan dan kemudian datang sebuah kereta Proton Wira dari arah belakang yang cuba mengelak namun disebabkan jarak terlalu dekat menyebabkan kereta itu terlanggar penunggang motosikal yang terbaring di tengah jalan.
“Akibatnya, penunggang motosikal mengalami kecederaan teruk pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini untuk proses bedah siasat.
Beliau berkata, pemandu kereta Proton Wira iaitu lelaki berusia 20 tahun yang bekerja sebagai peniaga tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.