comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita maut lori rempuh lima kereta

Seorang wanita maut selepas kenderaan dinaiki termasuk empat kenderaan lain dirempuh sebuah lori Persiaran Negeri, di sini, petang tadi. FOTO: Ihsan pembaca

NILAI: Seorang wanita maut selepas kenderaan dinaiki termasuk empat kenderaan lain dipercayai dirempuh sebuah lori di Persiaran Negeri, dekat persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, di sini, petang tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Mat Ghani Lateh berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3.45 petang itu, mangsa tersepit di dalam keretanya dan parah pada badan serta kepala.

“Berlaku satu kemalangan jalan raya membabitkan sebuah lori dan lima kereta di Jalan Persiaran Negeri. Siasatan awal mendapati ketika kejadian lori jenis Nissan itu dipandu seorang lelaki umur 30 tahun.

“Ia dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, menghala ke Pusat Bandar Nilai. Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, dikatakan hilang kawalan sebelum terbabas.

“Lori itu kemudiannya dikatakan melanggar lima kereta yang sedang berhenti di lampu isyarat berwarna merah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

FOTO: Ihsan pembaca

Mat Ghani berkata, akibat kemalangan itu, pemandu kereta jenis Perodua Ativa, seorang wanita berumur 31 tahun dikatakan tersepit di tempat duduk pemandu.

“Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Empat lagi mangsa yang menaiki kereta Perodua Alza mengalami kecederaan ringan.

“Manakala pemandu lori tipper dan empat mangsa masing-masing menaiki kereta jenis Honda Civic, Nissan Serena dan Suzuki Swift tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Sambungnya lagi, mangsa yang maut dan cedera dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban oleh orang awam dan ambulans bagi menerima rawatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Sebarang maklumat orang ramai boleh salurkan kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012- 9122198 bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini