comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita maut, lelaki cedera dihempap kontena terbalik

Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit selepas kenderaan dinaiki dihempap kontena yang terjatuh dari sebuah treler di Jalan Bukit Tengah, Bukit Mertajam. – FOTO: JBPM Pulau Pinang

BUKIT MERTAJAM: Wanita maut manakala seorang lelaki cedera selepas kenderaan dipandu mereka dihempap kontena yang terjatuh daripada sebuah treler dalam kemalangan di Jalan Bukit Tengah, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian jam 9.16 pagi itu, mangsa, Lee Zi Rou, 21, meninggal dunia di lokasi kemalangan ekoran kecederaan parah dialaminya.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Perda, PBK II Mohd Nor Azamuddin Abdullah berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan berhubung nahas berkenaan.

“Kemalangan membabitkan lima kenderaan iaitu tiga kereta dan dua lori termasuk sebuah treler.

“Mangsa lelaki berusia 25 tahun dikeluarkan oleh orang awam sebelum ketibaan pihak bomba dan dibawa ke hospital untuk rawatan, manakala anggota kita menggunakan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa wanita yang tersepit,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Nor Azamuddin berkata, bagaimanapun wanita itu tidak dapat diselamatkan dan disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang berada di lokasi.

“Mayat wanita berkenaan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

“Bomba kemudian menjalankan kerja-kerja pengalihan kontena yang terjatuh dengan menggunakan dua kren sebelum menamatkan operasi berkenaan,” katanya.

Terdahulu tular video dan beberapa keping gambar di media sosial memaparkan deretan kenderaan yang berada di persimpangan lampu isyarat Jalan Persekutuan di Bukit Tengah di sini dikejutkan dengan insiden kontena yang terjatuh dari sebuah treler sehingga menyebabkan seorang dilaporkan terbunuh manakala seorang lagi cedera.

Menerusi rakaman kamera papan pemuka dari sebuah kenderaan dekat situ mendapati pemandu treler membelok kenderaannya sebelum kontena yang dibawanya telah terbalik dan menimpa beberapa kenderaan yang sedang menunggu di lampu isyarat terbabit.

Difahamkan, mangsa yang maut dalam perjalanan ke tempat kerja dan memandu kenderaan itu seorang diri.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini