comscore
Tumpuan :
Nasional

Wanita maut, kereta terbabas elak langgar bangkai lembu

 

Foto: PDRM

KUALA KRAI: Seorang wanita maut apabila kenderaan dinaiki bersama suami serta anak perempuannya terbabas akibat mengelak bangkai lembu di Kilometer 57 Jalan Kota Bharu – Gua Musang, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 6.57 pagi tadi, mangsa Norma Mat, 55, yang tersepit di bahagian penumpang hadapan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintendan Mazlan Mamat berkata, kemalangan berlaku ketika suami isteri berkenaan dalam perjalanan menghantar anak perempuan mereka berusia 24 tahun pulang ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak.

Beliau berkata, setibanya di lokasi kejadian, kereta Perodua Bezza yang dipandu suami mangsa berusia 61 tahun mengelak bangkai seekor lembu yang berada di tengah jalan lalu terbabas ke laluan bertentangan sehingga kenderaan berkenaan terbalik masuk ke dalam longkang.

“Akibat kemalangan itu, mangsa yang tersepit dikeluarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Krai dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Sementara, suami mangsa mengalami sakit di bahagian dada dan penumpang belakang iaitu anak pasangan berkenaan cedera di kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) Kuala Krai untuk dibedah siasat, manakala suami serta anak perempuan mangsa turut mendapatkan rawatan di hospital yang sama.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan terperinci akan dijalankan oleh pihak polis.

“Pada masa sama, pihak polis turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk tampil menyalurkan maklumat ke Balai Polis Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai atau menghubungi Pegawai Penyiasat kes Inspektor Nurin Farisha Binti Mohd Adam di talian 011 29286619,” katanya.

Loading...
Terkini