Tumpuan :
Nasional

Wanita maut kereta rempuh trak tentera

Keadaan kereta mangsa yang terperosok di bawah trak tentera dalam kemalangan di jalan berhadapan Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Masjid Tanah.- FOTO: IPD Alor Gajah.

ALOR GAJAH: Seorang wanita maut selepas Proton Saga dipandunya bertembung dengan trak tentera di hadapan Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Masjid Tanah di sini, awal pagi tadi.

Pada kejadian 2.24 pagi itu, mangsa, Manisya Azlin Ishak, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi selepas parah di kepala, manakala pemandu lori tentera, lelaki berusia 33 tahun patah tangan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Deputi Superintendan Azrul Mohamed berkata, siasatan awal mendapati, kereta dipandu wanita berkenaan dari Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh dan dia dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Masjid Tanah Ria, Masjid Tanah.

Menurutnya, mangsa yang bekerja di bahagian pusat panggilan Telekom di Ayer Keroh dipercayai mengantuk menyebabkan kereta dipandu hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, kereta mangsa bertembung dengan trak Hicom itu secara berdepan yang cuba membrek berdasarkan kesan tayar sepanjang 12 meter di laluannya.

“Pelanggaran itu menyebabkan mangsa tersepit di dalam keretanya yang remuk, dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh kakitangan perubatan,” katanya.

Azrul berkata, mayat mangsa dikeluarkan dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Gajah dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat.

Katanya, pemandu trak tentera, Muhammad Azuddin Alias yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut, manakala empat lagi anggota tentera lain yang berada dalam kenderaan berat itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua kenderaan terbabit dalam nahas itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dihantar untuk pemeriksaan teknikal di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM).

“Setakat ini, kita sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini