Oleh : Zahir Senapiah
MERSING: Seorang wanita maut selepas kereta yang dipandunya dipercayai terbabas lalu melanggar besi pembahagi jalan, di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Anjung Batu, Jalan Jamaluang-Mersing, dekat sini, petang tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku jam 6.28 petang ketika mangsa dalam perjalanan dari Mersing ke Jamaluang.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, sepasukan 9 anggota dari Balai Mersing bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan diketuai Pegawai Bomba Kanan Dua, Anuar Husaine.
Katanya, sebaik tiba di lokasi mendapati sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berumur 25 tahun dipercayai terbabas dan melanggar besi pembahagi jalan.
Mangsa cedera di tempat duduk pemandu dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai kementerian kesihatan yang berada di lokasi.
Mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Punca sebenar kemalangan masih siasatan.