Tumpuan :
Nasional

Wanita maut kenderaan dinaiki rempuh van tepi jalan

Foto Ihsan JBPM

Oleh: Kadir Edison

SIMUNJAN: Seorang wanita maut setelah kereta dinaiki merempuh sebuah van yang diparkir di tepi jalan di Kilometer 18, Jalan Gedong-Simunjan di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, bomba menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada jam 3.01 petang lalu mengarahkan enam anggota bersama satu jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simunjan untuk ke lokasi kejadian.

“Setibanya di lokasi kejadian di dapati kemalangan membabitkan sebuah kenderaan jenis Proton Saga merempuh sebuah Van jenis Nissan Vennete yang diparkir di tepi jalan.

“Terdapat seorang mangsa wanita telah tersepit di tempat duduk penumpang di bahagian hadapan manakala pemandu seorang lelaki telah keluar sebelum pihak bomba tiba di lokasi,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, anggota bomba terbabit mengambil masa kira-kira 30 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan penyelamatan khas.

Bagaimanapun, mangsa yang di kenali sebagai Irim Gintang, 56, disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan paramedik Kementerian Kesihatan (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa lelaki, 37, yang juga pemandu kenderaan terbabit mengalami kecederaan dihantar ke Hospital Simunjan untuk rawatan lanjut.

Punca kemalangan masih dalam siasatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini