Oleh Zahir Senapiah
KLUANG: Seorang wanita maut manakala dua lagi cedera selepas dua buah kereta bertembung di Jalan Padang Tembak, Felda Kahang Barat, Kluang dekat sini tengah hari tadi.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 12.50 tengahari itu, membabitkan sebuah kereta Perodua Kancil dan Proton Wira.
Mangsa yang maut ditempat kejadian adalah pemandu kereta Perodua Kancil dikenali sebagai Norsahidah Ramdan, 42 tahun.
Manakala dua lagi mangsa yang cedera adalah pemandu dan penumpang kereta Proton Wira dikenali sebagai Patimah Abu Bakar 70, dan Siti Aisah binti Abdullah 29 tahun.
Komander Operasi balai bomba dan penyelamat Kluang, Pegawai Bomba Kanan II, Mohd Noorhakim Nordin berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.56 minit tengah hari.
Sejurus maklumat diterima, seorang pegawai dan sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Anggota kita berjaya mengeluarkan pemandu Perodua Kancil yang tersepit di tempat duduk.
Bagaimanapun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada ditempat kejadian” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan petang ini.
Mayat mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kedua-dua mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan.
Polis masih menyiasat punca kemalangan berkenaan.