KLUANG: Seorang wanita maut disyaki ditikam dengan pisau oleh anak kandungnya dalam kejadian di FELDA Ayer Hitam di sini, jam 10.45 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh, berkata punca kejadian itu masih dalam siasatan dan pihaknya akan menahan reman suspek lelaki berusia 20-an pada pagi esok di Mahkamah Majistret Kluang.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lalu dan hasil saringan ujian air kencing juga negatif.
“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang mengesahkan menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan seorang wanita tempatan berusia lingkungan 50-an ditemui maut disyaki ditikam di belakang badan dengan pisau dan mayatnya dalam keadaan terbaring di rumahnya.
“Wanita itu kemudian dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang dan disahkan meninggal dunia pada jam 11 pagi tadi.
“Sepasukan anggota dari dari Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kluang bersama anggota Balai Polis Sri Lalang menahan suspek di FELDA Ayer Hitam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.