Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya dirempuh sebuah kenderaan dari arah bertentangan berhampiran Cybercity, Jalan Lintas, di sini, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, hasil siasatan mendapati kemalangan disebabkan kecuaian pemandu kenderaan Perodua MYVI hilang kawalan, lalu terbabas ke arah bertentangan merempuh pemandu wanita yang membawa kenderaan Toyota Camry.
Menurut Kasim pihaknya menerima maklumat kemalangan itu pada jam 5.54 pagi.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati sebuah kenderaan Perodua MYVI yang dipandu oleh seorang lelaki berumur 20-an datang dari arah Kobusak menuju ke Putatan.
Katanya, apabila Perodua MYVI sampai berhampiran sebuah kedai cuci kenderaan, Cybercity Jalan Lintas, pemandu Perodua MYVI yang cuba untuk membuat pusingan-U dengan secara tiba-tiba hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan di hadapan dan melambung ke sebelah jalan arah laluan bertentangan.
“Dalam masa sama kenderaan Toyota Camry yang dipandu seorang wanita 40-an dari arah Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) menghala ke arah Lido dirempuh Perodua MYVI menyebabkan berlaku perlanggaran.
“Akibat daripada kemalangan tersebut pemandu kenderaan Toyota Camry telah mengalami kecederaan parah dan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya
Kasim berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai ujarnya dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.
Sementara itu Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata ketika kejadian kemalangan membabitkan empat orang mangsa.
“Seorang kanak-kanak 8 tahun dalam keadaan selamat berjaya dikeluarkan oleh orang awam dan seorang mangsa dikeluarkan oleh pasukan Bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Manakala dua orang mangsa mengalami cedera ringan dan seterusnya dibawa ke hospital menaiki ambulans,” kata kenyataan itu, di sini, hari ini.
Operasi tamat pada jam 7.05 pagi selepas pemeriksaan mendapati tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.