Oleh: Fazli Ahmad
LIPIS: Seorang wanita Orang Asli maut dipijak gajah di Kampung Simoi Baru, Pos Betau, Kuala Lipis dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superitendan Azli Mohd Noor berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4 pagi tadi dan mangsa, Wak Angkat Yok Tong, 39, dipercayai mati selepas dipijak gajah ketika cuba menyelamatkan diri setelah rumah dihuni bersama lapan ahli keluarga diserang sekumpulan gajah.
Katanya, kediaman mangsa terletak berhampiran ladang getah serta kebun pisang.
Berdasarkan maklumat awal, rumah mangsa diserang sekurang-kurangnya enam ekor gajah.
“Mangsa menyedari kediaman mereka diserang gajah selepas haiwan itu menarik dinding dan menyebabkan rumah mereka bergoyang.
“Semua penghuni bertempiaran lari untuk menyelamatkan diri tetapi wanita terbabit dipijak gajah dan cedera parah berhampiran rumahnya.
“Mayat wanita ditemui di kawasan kebun pisang selepas keluarga mangsa kembali ke kediaman setelah semua gajah beredar.” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kuala Lipis untuk dibedah siasat.