Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Wanita maut dalam kebakaran ruang dapur rumah kedai

 

KUALA LUMPUR: Seorang wanita tempatan berusia 47 tahun ditemukan mati dalam kebakaran ruang dapur sebuah rumah kedai di Jalan Rahmat 3, Taman Overseas Union, di sini pagi tadi.

 

Mayat mangsa ditemukan oleh anggota bomba dalam sebuah bilik berhampiran ruang dapur yang terbakar.

Terdahulu, Pasukan Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur menerima laporan kejadian melalui talian MERS999 pada jam 8.43 pagi.

Seramai sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Petaling kemudian telah digerakkan ke lokasi.

Menurut Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Mohd Khairul Nizat Mohammad Rokhi, sebaik pasukannya tiba di lokasi, kebakaran sudah berjaya dipadamkan oleh orang awam.

“Seluruh ruang dapur dalam rumah kedai itu musnah terbakar. Pemeriksaan lanjut menemui mayat seorang wanita dalam sebuah bilik, warga tempatan berusia 47 tahun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, operasi memadam sisa kebakaran selesai jam 8.53 pagi dan pihak bomba masih menjalankan siasatan bagi memastikan punca sebenar kebakaran.

Loading...
Terkini