Oleh: Fazli Ahmad
PEKAN: Seorang wanita maut, manakala tujuh lagi cedera dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan di Kilometer 37, Jalan Kuantan-Segamat, di sini, ketika hujan lebat kira-kira jam 8:15 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Pekan, Superintenden Mohd Zaidi Mat Zin berkata, siasatan awal mendapati sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) hilang kawalan sebelum terbabas ke lorong bertentangan dan melanggar sebuah Perodua Myvi.
“Ketika kejadian, SUV itu dalam perjalanan dari Kuantan ke Segamat. Penumpang hadapan Perodua Myvi, Nur Ezyyantie Aliakbar, 30, yang bertugas sebagai Penolong Pegawai Perubatan di Klinik Kesihatan Temai, Pekan, meninggal dunia di tempat kejadian.
“Suami mangsa, yang memandu Myvi, serta dua anak perempuan mereka berusia dua dan 12 tahun mengalami kecederaan parah. Anak berusia 12 tahun kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan,” katanya.
Pemandu SUV dan isterinya, masing-masing berusia 50 tahun, serta dua anak lelaki mereka berusia 12 dan 17 tahun turut cedera dalam kemalangan itu.
Mohd Zaidi menambah, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Pekan untuk bedah siasat, dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara cuai hingga menyebabkan kematian.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.