Tumpuan :
Nasional

Wanita lemas ketika menyelam di Pulau Tenggol

Pulau Tenggol

DUNGUN: Seorang wanita meninggal dunia ketika menyelam di kawasan Tokong Timur Pulau Tenggol kira-kira 13 batu nautika dari Kuala Dungun semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, mangsa Nur Atiqah Emelia Shubli, 33, yang berasal dari Batu 9, Cheras disahkan meninggal ketika dikejarkan ke Hospital Dungun.

Sebelum kejadian, mangsa yang bekerja sebagai setiausaha di sebuah syarikat perumahan bersama 28 penyelam terdiri daripada 17 wanita dan 11 lelaki, menyertai aktiviti menyelam di pulau terbabit.

Sebaik semua peserta di arah naik ke permukaan air, seorang pengajar menyelam mendapati mangsa tidak timbul.

Pengajar menyelam itu kemudiannya bersama seorang penyelam lain turun semula ke dasar laut untuk mencari mangsa.

Mangsa ditemui di dasar laut dalam keadaan terdampar di atas batu, sebelum dia dibawa naik ke atas bot dan diberi bantuan pernafasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Maizura Abdul Kadir berkata, mangsa kemudian dibawa dengan bot ke jeti Kuala Dungun sebelum dikejarkan ke Hospital Dungun dengan menaiki ambulans.

“Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dalam perjalanan ke Hospital Dungun sebelum mayatnya dibawa ke Unit Forensik untuk siasatan lanjut.

“Bedah siasat akan dilakukan pagi ini bagi mengenal pasti punca kematian,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini