JOHOR BAHRU: Persatuan Melayu Champa Johor Bahru tidak bersetuju dengan kenyataan seorang wanita warga Kemboja yang juga pemilik sebuah perniagaan di daerah ini yang mengatakan orang Melayu malas, baru-baru ini.
Seorang peniaga di Kota Tinggi, Mohamad Nasir Razali mewakili komuniti Melayu Champa, Kemboja di daerah ini berkata, kenyataan dibuat wanita berkenaan dilihat bersifat rasis.
“Kami ingin menegaskan apa yang dikatakan oleh wanita itu sangat rasis dan mengganggu keharmonian bangsa di Malaysia.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa kenyataan wanita itu bukan mewakili komuniti Melayu Champa, Kemboja di sini dan seluruh Malaysia,” katanya.
Mohamad Nasir ditemui selepas hadir bersama kira-kira 20 komuniti itu membuat laporan polis berhubung kenyataan dibuat wanita berkenaan di Balai Polis Ulu Tiram di sini, hari ini.
Sementara itu, wakil Persatuan Melayu Champa Ulu Tiram yang juga seorang peniaga, Zulkifli Zakaria berkata, komuniti itu menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan ke atas individu berkenaan.
“Kami tidak boleh terima kenyataan dibuat wanita itu. Kami bimbang kata-katanya itu boleh menyebabkan keharmonian komuniti kami di negara ini terjejas dan memburukkan imej kami sekali gus mengancam ketenteraman bangsa kami di Malaysia,” katanya.
Terdahulu, tular di media sosial satu rakaman video berdurasi satu minit tujuh saat menunjukkan seorang wanita sedang mengadakan penstriman langsung di dalam sebuah gedung pakaian muslimah.
Difahamkan, wanita itu adalah pemilik gedung tekstil yang menjalankan perniagaan jahitan pukal di Skudai dekat sini.
Menerusi rakaman video berkenaan, wanita terbabit mengakui dirinya adalah warga Kemboja yang sudah lama menetap di negara ini.
Dia mendakwa orang Kemboja sememangnya pandai dan rajin berniaga berbanding orang Melayu yang malas.
Namun, di akhir rakaman video berkenaan wanita itu menyatakan dia hanya bergurau dan berkata orang Melayu atau Kemboja tiada beza.